Friday, August 31, 2012

Strategi & Teknik Dapat Rumah Percuma!

Semua orang yang waras inginkan rumah percuma (maksud percuma: tanpa hutang bank, hutang orang, pinjam along & sebagainya). Tapi tanpa teknik dan usaha yang sewajarnya mana mungkin terjadi! Itulah antara kelebihan pelaburan hartanah! Rumah free siapa taknak!

Merupakan antara teknik yang mungkin aku guna pakai untuk membina rumah untuk aku duduki dlm tahun hadapan. Unit Sri Ixora di Seksyen 27, Shah Alam, bakal sampai tempoh 'matangnya' 5 tahun yang aku akan jual.


Umur ketika aku beli ketika 27 tahun dan masih mentah dlm bidang hartanah. Harga ketika beli dlm lingkungan RM125k. Kini hampir mencecah RM200k. Walaupun keuntungan tak seberapa tapi siapa nk bagi RM100k bila aku jual tahun depan nanti? Dengan keuntungan itu, tambah sikit-sikit lagi dah cukup untuk membina rumah atas tanah yang telah pun dimiliki hasil daripada bahagian isteri :-) Alhamdulillah..

Tapi itu adalah antara rancangan yang juga mungkin boleh digunapakai anda di luar sana.. Mungkin lebih besar anda boleh untung! Salam Merdeka!!

Sunday, August 12, 2012

Hartanah Dah Banyak, Ada 10! Apa Nak Buat?


Post kali ini lebih aku nak berkongsi dengan anda pada yang dah banyak hartanah (berapa hartanah yang anda kata banyak? 2, 3, 6, 12? Subjektif pada anda..) Banyak dah kan.. sikit2 lama jadi 'bukit'! Selalu kita bercerita tentang membeli hartanah... apa kata kita 'up' sikit ilmu.. bab ini jarang aku tengok kita jumpa (selalu yang kita jumpa, teknik membeli hartanah, teknik beli lebih 2, 3 dan 4 hartanah, teknik mudah dapat pinjaman untuk membeli hartanah, bla..bla..bla..)

Sebenarnya bab ini patut kita baca dulu sebelum kita memulakan membeli hartanah untuk pelaburan (ni tak, main beli je macam beli ikan kat pasar! Bila ikan busuk, salahkan orang lain!) Kita perlu kenal pasti apa objektif kita dalam pelaburan hartanah yang bakal kita ceburi. Short term, mid term dan long term. Kalau boleh, ketiga-tiga term kita boleh buat untung maksimim!

Antara objektif dalam hartanah pelaburan:

1.  Beli dan sewakan sampai untuk hari tua: Teknik yang kebanyakan orang suka fikir nak buat. Untuk kesenangan hari tua katanya.. Beli di lokasi menarik (semestinya semua hartanah pelaburan lokasi jadi tajuk utama!) Setiap bulan tunggu dan ambil sewa, dapat duit sewa, bayak hutang installment bulanan pada bank yang memberi pinjam, tolak maintainace dan lain2.. lebihan tu baru kita kira keuntungan.. biasanya untung tak berapa banyak. Tapi kalau bilangan rumah dah cecah 10 unit, untung bersih 1 unit RM100. 10 unit? ok lah RM1k kan? Siapa nak bagi?  

2.  Beli dan jual: Teknik ni pun tidak kurang hebatnya. Teknik yang orang Melayu jarang buat dedulu.. Sekarang dah ramai dah! Mungkin modal jadi alasan kerana teknik ni biasanya untung 'sedap' dengan unit 'landed property' yang harganya agak tinggi berbanding yang 'rise up'. Teknik 'Flipping' katanya.. Beribu-ribu orang dah pun jadi jutawan dengan teknik ni.. 

3.  Beli, sewa dan jual: Cara ini kalau kena cara memang boleh jadi jutawan. Beli sepuluh unit, cukup 10 tahun, jual semua! Satu unit kalau dapat untung bersih dari kenaikan hartanah RM100k, Dah 10 unit? Tak ke banyak duit tu! Jom gi Mekah!

4.  Beli, sewa, jual dan beli lagi dan lagi!: Tambah selangkah lagi dari teknik yang kat atas. Beli 5 unit secara berperingkat. 1 unit setiap tahun. Cukup 5 tahun (biasanya pun lock-in period 5 tahun..) masuk tahun ke 6, jual unit pertama yang kita beli tadi. Dapat untung bersih daripada jualan unit tadi katakan RM100k, tu dah boleh buat deposit beli lebih dari 3 unit tu!! Beli dan tambahkan koleksi rumah anda!! huish!! rabun aku beb sebab banyak sangat rumah korang! Belanja le aku makan! huhuhuhu!

Itu lah antara sedikit sebanyak yang dapat aku kongsi. Sebenarnya lagi banyak lagi teknik yang kat luar tu boleh kita cari dan terapkan dalam bidang hartanah ni.. 

P/S: Teknik ni mungkin tak sama dengan anda bergantung pada lokasi, masa, dan sebagainya.. Boleh lah sebagai rujukan yaa! Selamat beramal! JANGAN LUPA TANGGUNGJAWAB ZAKAT ANDA!




Thursday, July 5, 2012

Wajah Terkini Projek One City, USJ, Subang Jaya!

Wajah Kini

Wajah Siap Nanti

Hampir setiap hari aku lalui jalan ini untuk ke tempat kerja dan setiap hari juga hati aku berdegup kencang menantikan bangunan yang sedang rancak siap ini pabila siap nanti. Huyyyooo!! mengancam hooo!! Yang aku nak bagi tau kat sini bukan pada 'wajah' bangunan ni nanti, tapi 'wajah' nilai Capital Gain hartanah aku yang bakal diketahui pabila siap nanti!

Kebanyakan projek MCT memang tidak mengecewakan. 'Wajah-wajah' anggun terkini pasti terserlah dan 'mengiurkan' kejelitaannya pada hampir semua bangunan pencakar langit 'kelahiran' mereka. Projek ini tidak terkecuali untuk menggamit pengunjung..termasuklah aku! Shopping2, jalan2, makan2 (Tuan Bri mesti kata aku tak tinggal kalo bab makan! Huhuhu!).

Hartanah aku amat berhampiran (walaupun 'tanah jajahan' tak sama, ni USJ, aku Shah Alam. Jalan kaki pun buleyy maa!!) Sri Ixora apartment, Sek. 27, Shah Alam sudah pasti terkena tempiasnya! Syukur Alhamdulillah!

Pada yang berminat dengan hartanah Sri Ixora Apartment, Sek. 27, Shah Alam ni, boleh terus contact aku yang lebih ensem dari abg ensem (huhuhuhu! jangan marah bro, title sudah bertukar.hehehehe!). Masih ada lagi unit untuk dijual (tapi takleh dapat below MV..huhuhu!! Demand tinggi!) boleh contact aku 019-2010107

Yang masih belum kenal dengan Sri Ixora Apartment? boleh 'scan' dari blog aku ni...

Ok, Wassalam...


Wednesday, May 9, 2012

Proposted LRT Station Di One City, Puchong

Keratan Surat Khabar The Star 08 Mei 2012

Lokasi berhampiran (sangat hampir) dengan One City, Puchong ini seakan-akan sangat dekat dengan tapak projek MCT ini (lihat keratan akhbar di atas) tapi masih aku terkial-kial mencari mana lokasi yang telah dipacakkan piling pertama untuk stesen LRT ini...

Aku akui yang projek dari MCT ini atau lebih dikenali sebagai 'One City' bakal menjadi mercu utama antara sempadan Puchong, USJ (Utara Subang Jaya) dan Shah Alam. Lokasi yang amat hot ini di tambahkan 'perisa' dengan bersebelahan dengan Lebuhraya ELIT  ke KLIA dan LDP (LDP link KESAS dan KESAS link LKSA serta link ke FEDERAL!! Pergh!!)

Secara tak langsung, lokasi yang berhampiran juga mengalami perubahan yang mendadak samaada dari segi nilai hartanah, kepadatan penduduk malah bakal mengalami 'jemm' jalan yang mungkin agak teruk :-). Lagi teruk, lagi senang nak dapat penyewa.. tak gitu Tuan Rumah :-) haaa.. tu kan sengih sampai ke telinga!

Ok itu antara info yang aku nak share. InsyaAllah nnti kita jumpa lagi... (sikit sangat ke post aku kali ini?)

Wassalam...

Sunday, March 25, 2012

LRT Putra Height! Menarik ni!


Ianya telah bermula! Aku terkebil-kebil ketika ambil gambar yang satu ni! Bukan apa, agak ramai mata yang memandang :-) Mungkin tindakan 'murni' aku untuk memberikan info terkini di blog disalah anggap (memang kan..selalu macam masyarakat kita, bila jadi kaya.. orang kata, tak jadi kaya pun orang mengata!) So, buat jelah apa yang kita fikir yang kita buat ni betul...

Info menarik ni pasti ramai yang tersenyum girang! (pada hal, ramai dah pun tau info pasal ni!) termasuk lah aku, projek LRT telah bermula! Ada dua lokasi yang agak menarik perhatian aku:

1. Tapak LRT Putra Height, Shah Alam
2. Tapak LTR Subang Jaya, Berhampiran dengan Sekolah Wawasan 

Lokasi lain? Yang lain pi cari kat website dia! ahaks! Yang dua ni lebih menarik perhatian aku, berhampiran dengan 3 unit rumah sewa aku! (Berapa sebenarnya rumah sewa ko ni Man?---jawab aku, Entah! heheh) Pada firasat peribadi aku, lingkungan 3 kilometer persegi, ada memberikan 'efek khas' dari segi nilainya, atas sebab 'Supply & Demand'. Tak kiralah, sewa ataupun jual beli. Semestinya atas memudahkan sistem pengankutan akan datang.

Namun, ada juga yang tengah garu kepala, 
"Kenapalah aku tak beli dulu, nyesal sungguh!"

Bak kata pujangga,
"Menyesal Dulu Pendapatan, Menyesal Kemudian Tidak Berguna!" 

Syahman: Agak-agak koranglah, ada tak bas transit untuk ke LRT ni nanti?

Sunday, January 8, 2012

Al-Kisah Sri Ixora Ku Di Seksyen 27, Shah Alam!

Sri Ixora Apartment, Seksyen 27, Shah Alam

Kepada 'follwer reader' aku yang sekian lama dulu mengikuti kisah sebuah apartment yang juga merupakan 1st hartanah aku (sekitar 5 tahun dulu kot), alhamdulillah kini telah menunjukkan 'capital gain' yang agak memuaskan. Sehingga kini, hartanah ini masih setia dengan penyewa dari student nursing di sebuah insitusi kolej hospital swasta. Apa tidaknya, ketika aku beli dulu, nilainya sekitar RM120k.. Alhamdulillah... nilainya kini telah mencecah RM190k!! Tu tak di kira pabila 'piling' LRT yang bakal tertegak tanam di sekitar sini nanti! Memungkinkan ianya melebihi paras 'beku'! ahaks! 

Nilai sewa pun sudah ada yang mencecah RM950/bulan, walaupun aku masih 'bermurah hati' menyewakan dengan sewa RM850/bulan dengan punggung aku yang semakin panas! (sabar Man sabar! Pemurah tu kan satu sifat yang mulia!)...Emmm, Rasa rugi pulak dulu masa ada yang nak jual RM125k, aku malas nak beli. Mungkin juga niat aku yang bermurah hati untuk 'melepaskan' pada anda yang mungkin membaca blog aku ketika ini :-) Tahniah pada anda!

Jom layan pusing2 sekitar sini, jalan depan yang mengadap pintu masuk berpalang jaga pun dah semakin lebar! alhamdulillah, seakan menyedari keadaan yang mungkin semakin sesak pabila bas transit LRT melintasi hadapan ini nanti.

Ok, jom layan facebook pulak memalam ni!

Thursday, January 5, 2012

SELAMAT DATANG 2012!


Rasanya belum terlambat aku ucapkan 'Selamat Datang' pada tahun 2012 baru ini. Membuatkan aku melirik pada azam tahun 2011 yang lepas... Ya! Alhamdulillah tercapai sudah! (Bukan aku nak berbangga, tapi jika aku boleh.. Kenapa tidak anda!) dan ada juga yang tidak terduga yang mana aku tak masukkan sekali dalam azam 2011 ter'sambar' jua - 1 unit hartanah di Sek. 28, Shah Alam.. terbeli pulak hehehe :-)

Azam tahun ini aku tekadkan azam lebih ke arah biz aku - BeautyFrenz Body Care & Cosmetic. Tapi bukan bermaksud aku lupakan bidang kegemaran aku hartanah ni.. Cuma mungkin aku terpaksa kurangkan aktiviti aku bersama Tuan Bri dan Abang Ensem (jangan marah bro... lu orang masih di hati gua beb..hehehe!) untuk aku memberi ruang pada perniagaan ku yang semakin berkembang insyaAllah...

Tekad dan azam aku, untuk menjadikan produk BeautyFrenz 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' dengan produk yang termashur di pasaraya sana! Aku rasakan yang menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk memberikan saingan dan menjadikan antara produk pilihan anda suatu hari nanti. InsyaAllah :-)

Syahman: Jom cuba produk BeautyFrenz, Produk Bumiputra Muslim. www.beautyfrenz.blogspot.com




Sunday, November 20, 2011

Projek Baru Di Dataran Otomobil Seksyen 15, Shah Alam?



Gambar: Projek baru di Belakang Dataran Otomobil Sek. 15, Shah Alam yang semakin rancak!

Berita yang agak mengembirakan aku (lebih gembira bila projek ni dah siap nanti), sememangnya amat aku nantikan perkembangannya selama ini tatkala bermulanya aku mendapat kunci rumah aku di Dataran Otomobil tempoh hari dulu - dah setahun dah punn..

Lokasi yang berpotensi besar, mengadap Lebuhraya Persekutuan @ Federal Highway serta ekses mudah melalui LKSA serta KESAS membuatkan aku betul-betul teruja! (setiap kali sebut nak ke Shah Alam, bini aku muncung sebabnya aku pasti melencong ke sini ronda2 jap, hehehe...) 

Walaupun untuk aku nantikan LRT atau MRT tu mungkin berjanggut! Sekurang-kurangnya perkembangan ini membuatkan aku masih dapat senyum hingga ke telinga! :-) Alhamdulillah... 

Aku akui yang lot kedai yang paling belakang masih lagi banyak yang kosong, tapi bilangannya semakin bertambah. Dah ada Restoran Vanggey-Vanggey, Nationwide, kedai runcit, SINGER dan tidak dilupa juga unit apartment yang aku sewakan (boley kira ke ni? Belasah jelah!)

Mungkin terdetik kata hati pembaca blog aku ni: 
"Nape gambar satu tu melintang Man? Tak boleh tegak ke? Sakit urat leher aku ni.. ish..!"

Kata aku:
"Puas aku godek-godek nak tegakkan. Yang ni jugak yang keluar. Sori beb.. Copy le kat mana2 n then tegakkan. Buleh baca puas-puas!" Hehehe!   

Friday, October 7, 2011

Kecekalan Seorang Yang Bernama Steve Jobs - Apple

Steve Jobs (24 February 1955 - 5 Oktober 2011) - Apple Produk

Kejutan agak besar! Aku bukan lah seorang yang terlalu taksub atau bangga dengan lelaki yang bernama Steve Jobs ni (walaupun sebenarnya aku pengguna iPhone 4 dan amat berpuas hati dengan produk ini). Cuma yang aku suka ambil iktibar dari kisah dia yang selama ini ialah, beliau telah agak lama 'bertarung' dengan barah Pankreas tetapi masih bersemangat untuk memberikan yang terbaik dalam kehidupan dan yang lebih tepat - perniagaan produk Apple nya!  

Aku berkesempatan melayari http://en.wikipedia.org/wiki/Steve_Jobs dan kisah yang agak menarik diceritakan mengenai lelaki ini. Bermula dari bawah untuk membawa 'sesuatu' antara yang terbaik ke seluruh dunia! 

Aku suka antara yang pernah katakannya - rujukan juga dari http://en.wikipedia.org/wiki/Steve_Jobs :

Jobs was also a fan of The Beatles. He referred to them on multiple occasions at Keynotes and also was interviewed on a showing of a Paul McCartney concert. When asked about hisbusiness model on 60 Minutes, he replied:
"My model for business is The Beatles: They were four guys that kept each other's negative tendencies in check; they balanced each other. And the total was greater than the sum of the parts. Great things in business are not done by one person, they are done by a team of people."


Sunday, September 18, 2011

Usaha Tangga Kejayaan!


Keterangan Produk BeautyFrenz Lime Lipbalm Di Majalah iSIHAT Keluaran Oktober 2011 

'Tuah ayam nampak di kaki, tuah kita siapa yang tahu' antara ungkapan 'emas' Melayu kita yang telah diketahui umum.. Alhamdulillah, dengan tidak disangka-sangka, produk BeautyFrenz Lime Lipbalm memasuki Majalah iSIHAT oleh wartawan mereka sendiri iaitu Noor Hidayah Shafiee. Semakin hari semakin mendapat tempat masyarakat kita.

Mungkin ini yang Allah nak tunjukkan pada aku, apa itu tanda kejayaan awal sebelum Dia memberikan lebih kejayaan dengan usaha aku selain doa dan tawakal padaNya nanti. Sememangnya aku tidak sangka-sangka setelah salah seorang Stokis BeautyFrenz mesej melaui Facebook yang rakan Facebooknya memberitahu info ini.

Apa jua yang kita usahakan, insyaAllah Dia akan beri. tapi pesan aku, jangan lupa zakat apa yang kita 'dapat' dan usahakan istiqamah dalam menunaikan solat Dhuha - antara petua dari otai-otai rakan bisness aku :-)

Jom, kawan-kawan! kita terus maju ke depan!!  


Jom klik www.beautyfrenz.blogspot.com



Friday, September 9, 2011

Jom Usahakan 3 Jenis Pendapatan!

'Jom Usahakan 3 Jenis Pendapatan!'

Entry kali ni lebih 'general' kepada semua termasuklah aku, isteri aku, anak aku, adik beradik aku, sedara-mara aku, kawan2 aku (yg kenal aku atau pun tidak), pembaca blog aku (silent ataupun yg tak berapa silend reader heheh!), termasuk semua manusia (kan senang kalo aku cakap awal2 lagi 'semua' dari tadi... jgn maree..)

Kenapa 3? Banyak tu? Tak ter daya badan! Boleh tercabut 'skru' beb!

Sabar bro, sabar... Ketiga-tiga jenis income ni berbeza dari segi komitment dan masa. Sangat berbeza dari segala segi. Cuma yang sama, tetap menjana pendapatan yang amat menguntungkan (jika kena 'tune' nya)...Ok, jom kita lihat:-

1. Pendapatan Jangka Pendek, Komitment Kerja Yang Tinggi
Contoh: Berniaga, Kerja Makan Gaji, Kerja 'Gomen', Cikgu Sekolah dan lain2 yang menggunakan sepenuh masa kita (8 jam sehari). Kenapa aku katakan 'Pendapatan Jangka Pendek'? Yang kerja makan gaji, setiap bulan dapat duit gaji, tu tak kira yang berniaga, hari ni jual, jap lagi boleh dapat untung... Tak ke pendek namanya..Kegunaan pendapatan ini biasanya untuk bayar pinjaman kereta, bil-bil yang berkaitan, makan minum dll.

2. Pendapatan Jangka Sederhana, Komitment Kerja Yang Sederhana
Contoh: Pelaburan emas & perak, sebahagian jenis bisnes, rumah sewa (aik, bukan ke untuk jangka panjang?) jangka sederhana pun ada beb! Untung dari main 'game flipping'.. untung 'busat' oooo...! Beli rumah dalam pembinaan dgn pemaju, rumah siap.. market naik, jual! Dalam kes ni, lokasi the first thing to pay at-10-tion! Untung besar, risiko pun besar juga!

3. Pendapatan Jangka Panjang, Komitment Kerja Yang Rendah
Contoh termudah: rumah sewa juga. beli untuk disewakan. Setiap bulan penyewa yang bayarkan pinjaman kita pada bank. Lepas 10, 20 tahun,  jual! semestinya kita akan mendapat lebihan cash selepas dari pembayaran lebihan pinjaman kita pada bank. Lebihan dari jualan rumah yang sudah meningkat harga pasarannya!

Contoh lagi: Emas dan perak pun boleh tergolong dalam golongan ini... lagi lama simpan, wooo.. untung jualan balik ikut pasaran nnti ajak aku makan char-kuew-tiow skali bulehh! Hehehe..

Contoh lagi: Bisnes lepas waktu kerja full time kita yang kita rancangkan untuk kita kembangkan sekembang yang boleh! Boleh juga termasuk dalam golongan nombor 2 tadi bergantung pada komitment kita. Yang ni aku cadangkan, buat apa yang kita minat selama ni. Sesuatu yang kita minat, tak mustahil boleh jadi pakar! Dah jadi pakar nanti, orang datang cari kita!

Syahman: eemmm.. biz aku yang ni, www.beautyfrenz.blogspot.com tergolong dalam golongan mana eekk?

Jemput lawat blog aku yang satu ni.. :-)

Sunday, August 7, 2011

Macam Tak Percaya!

Seakan tak percaya! Ayat itulah yang aku rasa paling sesuai untuk tajuk posting aku kali ini (ape daaa tujuk2 duit lak mamat ni!). Kalau korang tengok kat gambar atas tu... itu lah hasil dari 'pemberat' dompet aku yang aku tak suka betul bawak! (kandungan dompat yang tebal dan berat hasil dari syiling dan seringgit kertas!).

Hampir setiap hari sebelum pergi kerja, aku mesti check dan keluarkan masuk ke balang2 plastik kat gambar atas tu sebelum aku susupkan ke poket belakang seluar aku... kalo aku terlupa, rasa amat tak selesa ketika duduk memandu dengan duduk atas dompet yang tebal, pergh! kekadang rasa lembab hasil dari 'kempaman' yang agak lama terutamanya time aku outstation! hehehe!

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun... bekas balang plastik dari satu..dah nak bertambah empat! Minggu ni aku dgn isteri serta anak aku (dia buat main2 duit singgit ni) kira balik... seakan tak percaya beb! Dah lebih RM700 terkumpul secara 'tak sengaja'!

Duit tu aku buat apa? haa.. aku buat beli 2 keping emas 1 gram jenis IAR (Istanbul) - beli emas beb buat simpanan long-term nih! dengan nak beli oven hari ni (isteri tengah rajin nak buat kuih heheh!). Rasa puas hasil dari tabungan yang tidak 'disengajakan' :-)

Syahman: Punyalah berat pikul syiling nak beli emas ni dari adik aku 'Hafiz Tokey Emas', last2 comel dan ringan je emas yg aku dapat :-) Layannn gambar emas yg aku beli...

Tuesday, July 19, 2011

Aku Kembali! - Jom Cari Peluang!

Aku kembali.. Rasa dah lama sangat aku menyepi dari blog kesayangan aku ni.. Kepada 'silent reader' yang selalu singgah serta menanti 'buah pikiran serta pandangan' dari orang seperti aku... maaf aku ucapkan..

Mungkin disebabkan aku 'rakus' dengan side income BeautyFrenz, yang menenggelamkan sementara blog yang pernah menambat pembaca yang luar jangkaan satu tika dulu (ceh, pesaran sendri! hehehe.. tapi tu fakta beb!)

Aku akui, biznez BeautyFrenz agak menyibukkan aku atas kerana aku meletakkan target yang luar biasa tinggi (terima kasih buat isteri yang amat memahami..). Aku 'merehatkan' fikiran dengan dunia hartanah buat sementara (mencari hartanah baru, lelong, JV dll..) walaupun aku amat akui, hartanah antara yang terbaik untuk kita mencapai kekayaan..

Masih aku ingat kata rakan Cina aku sorang ni...

'Lu jangan pikir satu jalan saja boleh kaya maaa..., MLM, hartanah, emas, bisnes pun boleh kaya maaa! Tapi MLM bukan gua punya jalan, gua cari lain'

(ayat tersebut telah diolah oleh tuan blog agar pembaca lebih mudah memahami) member aku sorang ni 'terkena' dengan MLM! Termasuk aku! (aku anti MLMs ker? mungkin kot! sori pada MLM readers. Jangan marah, nnti cepat tua!)

Dan dia sekarang masih kerja makan gaji... tapi part aku kagum, dia dah buka kiosk di sebuah pasaraya di Mentakab, Pahang! Tabik spriiiiiing beb kat dia! (Dia orang Temerloh, tu yang bukak kiosk kat Mentakab).

Aku? Alhamdulillah... setelah aku rasakan dunia hartanah semakin sengit dan aku rasakan cukup buat sementara untuk income sewa (bagi peluang pada rakan2 lain), aku cuba buka fikiran, tidak terlalu 'jumut' dalam sesuatu bidang. Aku cari peluang dalam bidang perniagaan.. dan syukur ku sekali lagi pada Allah Yang Maha Pemberi Rahmat dan Rezeki.. aku telah berjaya mengembangkan beautyfrenz.blogspot.com ke pelbagai lokasi.. dan telah berjaya melintasi Laut China Selatan, Sarawak!

Kepada yang mengeluh, sukar untuk mencari sesuatu untuk menambahbaikkan kehidupan, cuba kita fikirkan... Masa Allah bagi untuk kita adalah sama 24 jam sehari. Tidak seorangpun terlebih walaupun 1 saat! Tetapi mengapa 'mereka' boleh? Mengapa?

'Tepuk Dada Tanya Selera....' Burrps! Sedap beb!



Wednesday, June 22, 2011

Kreatif - Untuk Tambahkan Sewa!


"Yang Bulat Tak Datang Bergolek, Yang Pipih Tak Datang Melayang"

Antara kata-kata azimat sewaktu sekolah dulu.. Pn. Pengetua selalu ulang ketika perhimpunan (aku tak ambil 'port' sangat ayat ketika waktu tu, perhimpunan...siapa le murid yang suka, penat berdiri beb!). Tu dulu lah, tapi kini bila aku teringat kembali ayat tersebut, bikin aku jadi 'panas dan berasap' otak aku (seperti ketika aku menjawab soalan add math yang panjang berjela).

Suka aku kaitkan dengan pengalaman aku sendiri sebagai contoh paling mudah, ketika aku memula dapat kunci rumah kat Kompleks Dataran Otomobil, Seksyen 15 Shah Alam. aaaiiiii...buleh untung ke buat sewa nih? Bayar installment bank dekat RM700/bulan. Purata sewa pulak kat kawasan sini sekitar RM700-RM900/bulan. Tuu tak kira nak bayar cukai, maintainance dll lagi ni...

Aku try masuk iklan kat mudah.my untuk sewa rumah ni, rata-rata nak mintak kurang dari RM900/bulan. Aisshhh, pening-pening! al-maklumlah, lokasi sini banyak sangat kosong waktu aku mula dapat kunci - rumah baru lah katakan... Aku pikir lagii dan lagiii...

Orang kata, biznez ni kita kena cuba.. 'memancing' pun tak selalu kena! mengena untung, tak kena 'melebur' umpan dan masa...- itu kira adat lah dalam berniaga (aku tetap menganggap sewa ni sebagai biznez - biznez servis sewa rumah!) jadi, aku beli 'umpan' agak mahal sikit, aku beli peralatan keperluan asas untuk sebuah rumah... aku beli katil, tilam, tv, dapur, mesin basuh dll yang mana aku fikirkan perlu untuk seseorang penyewa yang 'baru' berjinak2 dalam dunia pekerjaan, mungkin jugak pada seorang student.

Alhamdulillah, 'umpan' mengena! sangkut juga ikan yang 'mahal' hehehe! aku pecahkan dari buat sewa rumah kepada sewa bilik, malah master bedroom aku buat sewa ikut 'kepala'. Total untung semestinya lebih dari buat sewa rumah!

Tapi semua tu ada pro & contra nya, untung lebih, 'kerja'nya pun lebih sikit lah kan...

Syahman: Kerja lebih asal berbaloi, OK apa! :-)

Thursday, June 2, 2011

Projek Apa Kat Belakang Kompleks Dataran Otomobil Sek. 15, Shah Alam?

Semalam aku menerima kunjungan 'Yang Amat Berhormat' ke rumah aku di Kompleks Dataran Otomobil Seksyen 15, Shah Alam. (Uiks, Yang Amat Berhormat tuuu!) Penyewa baru untuk bilik Master Bedroom aku kat situ.. Penyewa..kira berhormat jugak lahkan :-) Aku buat sewa ikut kepala untuk bilik tu. Sekepala RM200/bln - nak tolong individu yang tak mampu sewa serumah yang memerlukan modal yang agak besar (agak besar tuuu untuk yang baru membina kerjaya macam dia).

Agak terperanjat dan tertanya2, apa projek kat belakang Kompleks ni.. dah lah betul2 mengadap rumah aku dan mengadap Federal Highway.. aku pernah dengar desas-desus yang kat situ nak buat Showroom kereta (ala-ala mcm kat NAZA WORD tuu), kiri dan kanan nak buat hotel... ada gak yang aku dengar, nak bikin pasaraya! Huoh hooo! Kalo pasaraya, gerenti meletop harga rumah aku kat situ nanti (sewa pun pasti aku akan naikkan!) Awek2 pasaraya mesti carik rumah sewa terdekat. Buleh bangun lewat, jalan kaki je gi kerje! hehehe!

Emm..apa pun, ni rumah baru yang aku beli dari developer. Bagi aku, aku bagi tempoh setahun masa untuk matang lokasi ini - selepas aku buat sikit kajian tentang lokasi ni..alhamdulillah..dah semakin cerah hasilnya :-)

Syahman: Budak yang baru masuk sewa bilik ni baru sangat kat area ni, datang jauh dari Perak. Gembira jugak dapat tolong dia.. Harap dia berpuas hati dengan bilik tu, InsyaAllah...


Saturday, May 21, 2011

Benda Lain Yang Aku Buat Selain Hartanah Sewa!


"Kasi bukak sikit bro apa yang lu buat selain hartanah yang membuatkan senang-senang je loan lu lulus dengan bank untuk beli rumah lagi?"

Emmm... Aku akui sekiranya dengan 1 jenis income (keje kuli kat sebuah syarikat swasta) bukan senang nak generate income untuk beli hartanah - lelebih lagik bila aku dah lebih koata loan 90% tuh! Alhamdulillah... aku amat2 bersyukur sebab side income dari BeautyFrenz ni banyak membantu (amende lak ni? Layan dengan klik link ni beautyfrenz.blogspot.com)

Kenapa biz ni? Mungkin ada yang bertanya.. aku rasa terpanggil untuk melakukan yang patut 'Orang Kita' pecahkan monopoli dari 'Orang Bukan Kita' ni, terutama sekali produk Shower Gel aku.. Produk Bumiputra Muslim!

Tujuan utama, generate income untuk tambah koleksi hartanah lagi. Kenapa hartanah? Banyak dah aku cerita kelebihan dari hartanah ni pada post aku yang lepas2. Selain untuk aku buka peluang pekerjaan pada 'Anak Melayu' kita di masa depan. InsyaAllah...

Kepada yang dah dan support produk 'Orang Kita' ni, terima kasih yang teramat banyak pada korang. Kepada yang teringin nak cuba, klik:


atau lihat kat sebelah kanan blog BeautyFenz, terpapar senarai STOKIS & EJEN (mungkin terhampir dengan anda!)

berminat jadi STOKIS/EJEN sebagai side income? Contact direct aku 019-2010107 (Syahman)

Syahman: Trademark Shower Gel aku 'Tidak Melekit Selepas Mandi!'

Tuesday, April 26, 2011

Mustahil! Tapi Mampu Capai!


GOALS
Always Aim For The Sky,
For If You Fail,
At Least You Can Reach The Clouds.

Antara kata pujangga dari sekeping poskad adik Hafiz (tokey emas) aku punya. Memula aku buat kat poskad ni, aku ambil dan print kaler dan aku selitkan kat muka depan fail BeautyFrenz aku.. Aku Sangat Suka Ayat Ini! Sebelum ini aku ada ayat yg dalam Bahasa Melayu.. simpan yg Bahasa Inggeris punya buat koleksi (selepas aku pow poskad dia ni hehehe..jgn marah tokey emas)

Kenapa aku suka? Sebab ia membuatkan aku merancang untuk 'menjaringkan lebih GOL!' dalam 90 minit perlawanan! Lebih kurang macam tu lah yang aku ibaratkan.. Perasan tak ayat aku.. menjaringkan LEBIH gol?

Alhamdulillah..setiap awal tahun aku akan setkan untuk ke 'langit' sebelum jam 12 tengah malam, 1 Jan tahun berikutnya. Dan kesannya.. hampir-hampir ke 'langit' aku capai. Jika ada azam aku yg belum tercapai, aku tetapkan tarikh baru.. Bila aku berjaya 'capai', aku raikannya!! Makan-makan karipap ke.. minum-minum sirap ke.. Syok ooo bro! memang agak 'syok' sendiri orang kata.. tapi aku phedullik apa!! (hati mau kering beb! - ayat Tuan Bri selalu kata heheh!)

Kalo tak caya, cuba korang buat.. Tulis atas kertas azam tu (azam yang mustahil tapi mampu capai - ibarat 'SKY' seperti kat poskad atas tu..), kendian setkan masa, time frame kata orang.. tampal la kat belakang pintu bilik ke.. tempat yang selalu korang akan 'terserempak' dengan 'ayat2' korang tu.. Sekejap2 kita akan teringat ayat tu.. minda bawah sedar... Cukup sampai masa, seakan tak percaya rupanya kita mampu capai ke'AWAN'....

Syahman: Bayangkan, jika tiada 'Goal' untuk dicapai, kita masih berpijak tidak berganjak!!

Saturday, April 23, 2011

Jom Kita Jana Dari Pelbagai Sumber Pendapatan!




"Aku teruja, 'kaget' dan rasa tercabar!" Pernah ke terdetik hati korang bila mendengar seorang yang pangkatnya yang tinggi dalam sesuatu syarikat (incomenya berpuluh ribu) dan dah berada di 'zon yang amat selesa' tetapi masih lagi mempunyai pendapatan sampingan diluar dari syarikat terbabit?


Itula yang aku rasa apabila aku cuba 'korek & umpil' si yang berpangkat 'Manager' di sesebuah kilang. Bukan sorang beb yang aku korek, ramaaaii! Aku gembira sangat sebab 'mereka' ini yang membuka 'pandangan mata kehidupan' aku.. tapi yang aku cukup sedih.. mereka ini bukan dari bangsa aku...(bangsa mana? korang pun tau..) bukan aku nak membanggakan dan puji menggunung bangsa mereka ni, tapi bak kata orang 'yang baik kita ambil, yang buruk kita tingggal dan pedulikan!'.


Kekadang aku rasa amat bersyukur sebab hidup dengan suasana macam ni. Sekurang-kurangnya aku dapat memberi 'pesanan' pada mereka yang berada di zon yang selesa (sendiri yang anggap selesa, bila kena buang keje, terkesima!)... Jom bangsaku! Bangkit! Biar kita 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' dengan 'mereka'!


Aku pernah lalui detik ketika satu-persatu bangsaku 'dibuang' kerja ketika ekonomi gawat 2008..


"Ko jangan risaulah Man, aku dah lalui zaman gawat 1998 dulu. Kompeni kita 'strong'." kata senior kat tempat kerja aku yang berpangkat manager sebelum dipanggil seorang demi seorang di bilik mesyuarat.


Ketika keluar dari bilik mesyuarat tersebut di tingkat 2.... "Aku kena cari kotak Man, kena kemas barang!" Pergh! tersirap aku!


Mungkin 'turn' aku pulak 10 tahun selepas 2008 (putaran kegawatan ekonomi)? Jadi, jom bersiap sedialah Syahman! Air tak selamanya tenang!




Sunday, April 17, 2011

Cerita Tentang Tayar..Pergh Gile Mahal!


Giler mahal!! Tu yang perkataan yang pertama bermain jauh dalam hati aku (kalo terkeluar kata, kot terasa hati si tokey tayar dekat belakang opis tempat aku keje nih!). Sebelum ni member opis aku dah pesan, "Tukar le tayor kamu sebelum bulan april ni yob! tayor akan naik regenye!" (slang Perak le member aku sorang ni a.k.a orang Perak) Tokey tayar tu pesan kat dia...

Nah, terkena aku beb! Bukan le aku tak nak tukar, tapi dok sayang dgn bunge tayor yang rase-rasenye buleh jimatkan lagi. Aku nih pulak tak leh nak ambil tayar murah2 (kepada member yang kenal aku, tau le yang keroje aku yang amat kerap outstation) orang kate, slalu jalan jauh ni elok ambil tayor elok sikit kan kome...

Aku segar dlm ingatan aku lagi sebelum ni beli tayar, dengan brand ni buleh dapat harga bawah RM200/satu.... Semalam aku beli, RM240/satu..(servey banyak kedai tayar dah. sama je!)

Syahman: Pergh!! Inikah yang dinamakan inflasi? Kompem harga rumah gerenti naik lagi nanti!

"Buat rumah pakai tayarke?"
"Bukan ke hantar simen, besi, palster siling, kapur dan lain-lain pakai lori yang bertayar besar?"

Banyak bertaburan getah2 tayar si lori di jalan raya skang ni...

Layan le gambo tayor sebelum tukor dgn selepas.. (isk...isk! sedey beb!)

Thursday, April 7, 2011

Buku Dari Renesial Leong Baru Aku Habis Baca!


Asyik baca buku dari penulis 'orang kita'.. apa kata kita baca dari penulis dari bangsa yang sinonim dengan dunia perniagaan pulak dan buku ini yang baru je aku habis baca..

Renesial Leong, satu nama yang sememangnya tak asing bagi dunia pelaburan hartanah. Sebenarnya, edisi Bahasa Inggeris dah lama dah berada dalam pasaran (mungkin aku takde cikgu BI yg jadi member aku buat masa ni yg buatkan aku tak jadi beli. Ahaks!) La ni, bila aku ronda2 kat kedai buku Popular, ternampak lah muka si 'awek kiut' ni. Bahasa Melayu lagi! Beli beb aku!

Olahan ayat yang santai serta cerita pengalaman2 yang padat dalam buku ni membuatkan aku seakan berada dalam 'dunia buku' dia. Lebih terarah untuk golongan sasaran yang sudah mempunyai unit hartanah disewakan serta banyak juga tip yang menarik untuk menarik perhatian penyewa. Setebal 205 muka surat (tidak termasuk kulit, tajuk dan penghargaan) membuatkan aku nak ulang sekali lagi untuk penghayatan yang lebih..

Merupakan antara koleksi kesayangan aku selain buku Azizi Ali, Shamsuddin Kadir dan Abg ensem (e-book pun buku apa :-D kembang le lagi hehe!)

Syahman: Kot2 le jualan buku ni ' melambung' selepas aku post dalam blog aku dan kebetulan pulak Renesial Leong baca blog aku, ajak le aku makan-makan kan..geranti sebelum gi, aku beli kamera DLSR (jangan takut Cik Renesial, I bring my wife and my son together-gether hehehe!)